73_Aliran Akhir Zaman

73_Aliran Akhir Zaman

Rabu, 20 Januari 2016

73 Golongan Disisi Tuhan


نَّ بني إسرائيلَ تفرقَتْ على ثنتينِ وسبعينَ مِلَّةً ، وتفْتَرِقُ أمتي على ثلاثٍ وسبعينَ ملَّةً كلُّهم في النارِ إلَّا ملَّةً واحدَةً ، قال من هِيَ يا رسولَ اللهِ ؟ قال : ما أنا عليه وأصحابي

“Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 golongan, manakala umatku pula akan berpecah kepada 73 golongan. Kesemua mereka di neraka kecuali satu golongan sahaja. (Para sahabat) bertanya, “Siapakah (golongan yang tersebut) ya Rasulallah? Rasulullah menjawab, “golongan yang aku dan para sahabatku berada di atasnya”
[Hadith riwayat al-Imam al-Tirmizi]
Pertama sekali pendengar menyeru pembaca sekalian supaya cuba berlapang dada dengan apa yang cuba disampaikan ini, dan pembaca juga harus menyedari bahawa pendengar itu merujuk kepada sang penulis. Dalam artikel ini pendengar akan cuba membicarakan tentang sebuah hadis yang agak kontroversi di mana nabi menyebut bahawa umat ini akan terpecah kepada 73 golongan. Maka sebelum kita pergi lebih jauh dalam membincangkan hadis ini, ada beberapa perkara yang perlu dirungkaikan dan diselesaikan. Maka disini pendengar cuba menyakinkan bahawa tidak kiralah apa pun latar belakang agama, mahupun sistem kepercayaan yang setiap pembaca imani, kita semua akan dapati bahawa ada beberapa perkara, aspek, serta kepercayaan yang berada diluar lingkungan seorang yang mengaku muslim. Sebagai contoh, di zaman dahulu ada kumpulan minoriti yang percaya bahawa Allah turun serta menjelma di dalam tubuh ketua masyarakat mereka, dan secara literal, ia merupakan tuhan yang berjalan ! Pastinya tiada siapa dikalangan kita yang akan setuju dengan kepercayaan minoriti ini, dan mengangap perkara ini tidak boleh diterima akal serta berada diluar kerangka kepercayaan seorang muslim. Begitu juga kita akan sebulat suara bersetuju untuk menolak kepercayaan bahawa akan ada nabi lagi membawa wahyu terhadap ummat selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. Definisi kepada definisi sendiri adalah meletakkan had-had serta batas-batas terhadap sesuatu perkara, begitu juga dengan definisi muslim, bahawa ianya mempunyai  batas batas serta had-had tertentu.
Hadis ini telah diriwayatkan oleh ramai sahabat, antaranya Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah, Abdullah bin Mas’ud, Abu Hurairah, serta ramai lagi, dan hadis ini disebut didalam banyak kitab hadis antaranya Abu Daud, Tirmidhi, Ibn Majah, Al Hakim, Ibn Hibban, Musnad Imam Ahmad, mudahnya hadis ini sangat maaruf dalam tradisi islam. Sesetengah riwayat hanya menyebut bahawa ummat aku(nabi Muhammad s.a.w akan terpecah kepada banyak golongan, ada riwayat menyebut bahawa ummat aku akan terpecah seperti mana terpecahnya yahudi dan nasrani, dan ada juga riwayat menyebut bahawa semua kumpulan pecahan ini adalah sesat kecuali satu.
Maka kita punyai pelbagai riwayat, tetapi majoriti ulama dari pelbagai bidang bersetuju bahawa hadis ini adalah sahih. Tetapi tidak diragui juga ada beberapa salah faham dalam menanggapi serta memahami hadis ini dan terdapat juga yang menyalah gunakan hadis ini untuk tujuan tertentu. Maka disni ada beberapa salah faham yang cuba ditengahkan oleh pendengar:
1) Mengambil angka 73 secara literal 
Terdapat sebahagian golongan yang menggunakan hadis ini sebagai hujah, mengambil angka 73 yang disebut dalam hadis secara literal bahawa memang ada jumlah yang tepat yang menunjukkan jumlah golongan yang menyeleweng di akhir zaman dan jika dicampur semuanya, jumlahnya ialah 73. Sehingga bukan sedikit mereka yang cuba menyenaraikan golongan-golongan tersebut dan cuba menjumlahkan mereka menjadi 73. Malangnya, sehingga kini tiada siapa yang dapat memastikan senarai yang dilakukannya adalah yang paling tepat mengikut kehendak hadis. Buktinya, setiap kali sesebuah senarai dikeluarkan, pasti ada saja golongan sesat baru yang menyeleweng yang terkeluar daripada kebenaran al-Quran dan al-Sunnah.
Sebetulnya, angka 73 perlu disikapi sebagai isyarat yang menunjukkan “jumlah yang banyak” sahaja. Hal ini memang suatu yang masyhur dalam bahasa ‘arab bahkan kaedah ini digunakan dalam beberapa tempat di dalam al-Quran.
2) Beranggapan bahawa 73 golongan ini – kecuali satu – adalah kafir belaka 
Jika kita merujuk semula kepada teks hadis tersebut, didapati Rasulullah menggunakan perkataan “umatku akan berpecah…”. Ini menunjukkan bahawa kesemua 73 golongan tersebut adalah termasuk dalam umat nabi Muhammad. Dalam erti kata lain, mereka kesemuanya adalah muslim!
Dengan memahami hakikat ini, dapat juga disimpulkan bahawa setiap golongan yang sudah diwartakan sebagai kafir adalah tidak termasuk dalam skop perbincangan dalam hadith ini. Sebagai contoh, mereka yang meyakini bahawa guru mereka adalah Allah yang berjalan di muka bumi, atau adanya nabi setelah nabi Muhammad, atau percaya adanya al-Quran lain selain al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad. Golongan yang jelas kekufuran mereka ini tidak termasuk dalam 73 golongan tersebut jadi hadis ini bukanlah berkaitan isu “Islam vs kufr”, tetapi ia adalah berkenaan perbezaan yang berlaku dalam komuniti umat Islam yang mendokong asas-asas rukun Iman dan Islam.
Setelah mengetahui 73 golongan ini adalah tergolong di kalangan umat Islam, sayugia diingatkan mereka juga mempunyai hak sebagai umat Islam secara umum seperti memberi salam, memenuhi undangannya, memberi nasihat kepadanya apabila diminta, mendoakannya apabila terbersin, menziarahinya ketika sakit, dan mengikuti jenazahnya ke perkuburan (hadith riwayat al-Imam Muslim). Dan apabila disebut muslim, mereka juga terikat dengan pertalian persaudaraan Islam.
3) Berpendapat majoriti daripada umat adalah sesat belaka
Salah faham yang seterusnya ialah seringkali mereka yang berhujah dengan hadis ini mengeluarkan pandangan bahawa hadis ini menunjukkan majoriti umat Islam akan jatuh ke dalam kancah kesesatan, kecuali sedikit. Hujahnya, di dalam hadis tersebut disebutkan bahawa 72 daripada 73 golongan kesemuanya di neraka. 72 daripada 73 bukankah satu peratusan yang besar, maka benarlah bahawa kebanyakan umat Islam akan tersesat di akhir zaman, lantas kebanyakan mereka akan berada di neraka?
Persoalannya, bagaimanakah kita mahu selaraskan pendapat ini dengan kenyataan bahawa Allah mempunyai rahmat yang cukup luas? Sedangkan umat nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang disebut nabi sendiri adalah umat yang dirahmati (inna ummati ummatan marhumah – hadith riwayat al-Imam Abu Daud al-Imam Ahmad)
Sekalipun kumpulan-kumpulan yang tersesat ini sekian banyak jumlahnya, sebenarnya mereka hanya dianggotai oleh jumlah yang kecil sahaja. Menurut Dr Yasir Qadhi, kajiannya terhadap kumpulan Jahmiyyah di dalam tesis masternya mendapati hanya seramai tidak lebih daripada 100 orang yang menganggotai kumpulan al-Jahmiyyah pada zaman kegemilangannya. Sebab itu jika diteliti sekalipun ulama-ulama besar dalam ‘aqidah memperkatakan secara meluas perihal kesesatan al-Jahmiyyah, bahkan al-Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan bab “kitab al-Tauhid wa al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah”, namun sebenarnya kumpulan ini hanyalah kumpulan yang kecil saja, cuma mereka diwakili oleh golongan aktivis yang lantang bersuara ketika itu yang membawa pandangan yang pelik yang menyelisihi kebenaran al-Quran dan al-Sunnah.
Oleh yang demikian, bukanlah janggal untuk melihat mereka yang mengaku sebagai ‘golongan yang selamat’ menganggap mereka yang ‘selamat’ ini hanyalah beberapa kerat sahaja manusia di belahan muka bumi ini. Atau mereka berpendapat dalam komuniti mereka misalnya, hanya ada dua tiga orang sahaja yang tergolong dalam “golongan yang selamat”. Ini ternyata sekali sebuah pendapat yang salah dan keliru!
4) Berpendapat 72 golongan yang sesat pasti ke neraka 
Sebahagian ulama’ hadis berpendapat tambahan dalam hadis “…kesemuanya di neraka kecuali satu” adalah sebuah tambahan yang dhaif (lemah, tidak boleh dijadikan hujah). Antara yang berpendapat sedemikian ialah al-Imam al-Syawkani. Namun begitu, sekiranya sahih sekalipun ia tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi apatah lagi salah faham bahawa majoriti umat ini pasti akan masuk neraka belaka kecuali sedikit. Renungkan hujah di bawah untuk merungkai persoalan ini.
Kita meyakini bahawa di dalam al-Quran dan al-Sunnah, Allah berjanji akan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang berbuat kebaikan. Ganjaran ini mesti dan pasti akan diberi kepada pelakunya kerana Allah telah menjadikannya wajib ke atas Dirinya untuk berbuat demikian. Di samping itu, kita juga melihat ancaman Allah terhadap orang yang melakukan kesalahan dengan neraka dan azab yang dahsyat. Namun begitu, ancaman ini terserah kepada Allah untuk melakukannya atau dengan Sifat Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang, Dia akan ampunkan segala kesalahan tersebut atau Allah akan mengampunkannya atas sebab tersilap atau terlupa.
Sebagai contoh yang mudah, setiap perlakuan meminum arak itu adalah haram dan pelakunya diancam dengan azab api neraka. Namun demikian, ini tidak bermaksud bahawa semua peminum arak itu akan diazab dan kesemuanya akan dicampak ke dalam api neraka! Allah akan ampunkan sesiapa saja yang dikehendakiNya dengan Sifat PemurahNya, atau Dia akan membiarkan saja kesalahan itu tanpa balasan, atau Dia akan mengambil kira amalan kebaikan untuk menampung kesalahan dan dosa tersebut.
Kesimpulan
Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa seperti yang dipetik oleh Dr Yasir Qadhi, berkata bahawa mereka yang tergolong dalam golongan yang benar sekalipun, tidak semestinya mereka akan  menjadi ahli syurga. Bahkan dia berpendapat, boleh jadi orang yang tergolong dalam kelompok yang sesat dan menyeleweng  akan mendapat tempat yang  tinggi di akhirat disebabkan keikhlasan dan amal kebajikan mereka yang banyak. Sebaliknya, mereka yang aqidahnya benar dalam golongan yang selamat, jika mereka mendokong dosa yang banyak dan melakukan amalan tanpa keikhlasan yang hakiki, dia berkemungkinan akan menduduki tempat yang lebih rendah di akhirat kelak. Sebab itu pentingnya keikhlasan dan taqwa yang boleh jadi dengannya Allah mengangkat darjat mereka yang tersesat lebih tinggi berbanding mereka yang benar golongan namun tiada ikhlas dan taqwa kepada Allah. Maka haruslah kita renungi kembali dengan jiwa yang tenang terhadap firman Allah.
“Dan rahmat ku merangkumi segala sesuatu”
(Surah Al A’araf ayat 156)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar